Monday, June 29, 2009

Biarlah saya undur diri.....


Video ini tiada kaitan dengan entri di bawah.

Kawan-kawan semua! Dengar sini! Aku sudah delete 2 video penyertaan aku untuk peraduan Kuat Berlakon. Aku yakin, ramai yang marah dengan tindakan aku itu. Di opis sahaja sudah ada orang baling objek ke arah aku sebagai tidak puas hati, mujur ia hanyalah mainan gumby yang lembut itu. Tidak cukup itu, ramai yang menentang tindakan pelik aku itu pada status facebook aku.

Setakat ini, subscribers channel youtube aku masih belum tahu hal ini. Warga forum pergh.com juga belum tahu. Aku tahu, mereka semua sangat supporter sehingga rajin mengundi aku setiap pagi. Aku minta maaf kerana membuang masa kamu semua. Mahu undur semula, tidak boleh... sebab aku sudah delete video penyertaan aku.

Pihak kuatberlakon.com masih meminta aku berubah fikiran untuk terus kekal dan tanya mengapa aku mahu tarik diri? Soalan itu sangat popular sejak petang semalam. Jawapannya.... alamak! Sakit perutlah, nak ke tandas kejap.

Okey, sudah. Sebenarnya aku tak syok dengan pertandingan ini. Aku mendapat kedudukan yang tertinggi dalam senarai video yang paling diundi. Harapan aku untuk menang sangat cerah. Namun, aku rasa kurang senang sebab di bawah aku, ada beberapa lagi video yang menarik, tetapi undian mereka sedikit. Manakala, video yang bersaing dengan aku di carta teratas sangatlah membosankan. Maaf kalau ada yang terasa, tetapi itulah yang semua orang fikir juga. Aku menarik diri kerana tidak mahu dilabel dalam kelompok itu.

Fuh! Lega apabila menulis di sini. Sekarang aku gembira dan mahu menyanyi. Aku akan terus buat video, terima kasih pada semua supporter! Saya sukakan kamu semua.

.

Saturday, June 27, 2009

pakcik menang motor!

Photobucket
Semasa aku buat satu video 3 tahun lepas, keadaan aku ketika itu sangat membosankan. Orang muda kata, no life- lah! Mana tidaknya? Hampir sehari suntuk aku buat video itu tanpa peduli makan tidur. Aku buat video itu hanya mahu lihat idea aku itu menjadi realiti. Buat dengan penuh minat. Kalau aku ada bini dan anak, boleh umpamakan aku buat kerja tak ingat anak bini.

Video yang no life itu membuktikan video itu sebenarnya memberi life pada aku. Buktinya, video itu diiktiraf sebagai antara video terbaik dalam pertandingan MyLifeMyWay. Ini adalah pengiktirafan pertama dalam hidup aku dibidang video. Bukan hadiah TV Plasma, pemain DVD dan music phone yang buat aku gembira, tetapi pengiktirafan yang diberikan.

Aku sudah tahu kemenangan ini 3 bulan lalu. Tetapi ada rakan-rakan yang sangkakan aku ditipu. Maklumlah, tiba-tiba sahaja aku yang amatur ini menang pertandingan yang menjanjikan hadiah yang besar-besar! Mahu pula sekarang ini hebat dengan cerita pertandingan gores dan menang. Tetapi, selepas aku menerima hadiah sebenar dan tiada apa-apa bayaran dibuat, aku boleh bangga, aku memang benar-benar diiktiraf.

Pengiktirafan ini memberi kekuatan pada aku. Ini adalah video itu.

Monday, June 22, 2009

Mr.V cabar semua peserta Adakah Anda Kuat Berlakon



Pertandingan Adakah Anda Kuat Berlakon masih berlangsung. Sebahagian besar pengunjung blog ini sudah tahu aku menyertai pertandingan ini. Sekiranya diikutkan hati ( mungkin paru-paru pun sama juga ), mahu sahaja aku re-shoot kembali video penyertaan aku itu. Ada banyak boleh dibaiki pada video penyertaan aku itu. Namun, apabila difikirkan kamu semua sudah undi video itu, dan aku tidak mahu berlaku pecah undi pada video-video aku, maka aku biarkan sahaja video itu di situ.

Terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan opis, rakan internet, forum pergh.com yang bermurah hati meletakkan banner promosi di situ ( aku yakin ini idea brilliant daripada adzakael dan mysticmind ), kamu berdua memang selamba.

Bagi meng-cover semula apa yang tidak kena pada video penyertaan Adakah Anda Kuat Berlakon itu, aku akan upload beberapa siri video kempen di youtube. Antaranya, adalah video di atas. Video itu lebih kepada bertegur sapa dengan peserta yang lain. Harap kami semua menjadi rakan internet yang rapat.

Selain itu, aku berharap, peserta-peserta pertandingan Adakah Anda Kuat Berlakon ini dapat mempopularkan lagi Vlog berbahasa Melayu. Kita ubah cara masyarakat Malaysia menggunakan youtube! Era Vlog bahasa Melayu bermula!

Apapun, jangan lupa UNDI SAYA BERKALI-KALI SETIAP HARI! kita pintas video yang pertama itu!

Satu Malaysia!

Saturday, June 20, 2009

Bas Berhantu di Perak

Minggu lalu, kami sekeluarga melalui satu pengalaman yang menakutkan bercampur kelakar, apabila diingatkan kembali, ia sebenarnya lebih kepada peristiwa indah yang ngeri. Kami berada diambang maut ketika terkandas di lebuhraya pada jam 2.30 pagi.

Kami sekeluarga menyewa bas ekspres bagi menghantar rombongan pengantin perempuan ke Kulim, Kedah. Kejadian bermula sebaik sahaja melepasi tol Ipoh. Gear bas rosak, kami berhenti di puncak bukit. Saya anggap masalah itu boleh selesai, jadi saya terus selesa duduk di dalam bas yang berpenghawa dingin itu. Mahu pula ketika itu jam 2.30 pagi, ramai ambil kesempatan mahu terus tidur lena.

Keadaan berubah pada jam 2.45 pagi, bateri bas pula mati. Penghawa dingin tidak boleh berfungsi dan kami mula kepanasan. Semua tersedar dari tidur dan keadaan menjadi riuh. Ketika ini, ada nenek saudara membuka cerita, 'Misteri Bukit Masam' bagi menghiburkan ahli keluarga saya yang lain. Menurut nenek saudara, kami sekarang berada bertentangan dengan Bukit Masam yang memang sengaja memilih kami menjadi mangsa ia pagi itu. Bukit itu mahu hiburkan dirinya dengan melihat gelagat kami.

Tatkala sibuk bercerita, Kon lalulintas keselamatan di belakang bas terpelanting dilanggar lori besar. Kami hampir dilanggar lori besar itu. Puncanya, lampu keselamatan bas sudah padam. Bas kami jadi halimunan dan sukar dikesan pemandu lain, mahu pula kami berada di puncak bukit dan selekoh. Semua di dalam bas susah hati.

Saya mencadangkan semua penumpang keluar dari bas untuk keselamatan sekiranya bas dirempuh kenderaan lain. Cadangan itu mendapat tentangan sebilangan keluarga. Mereka anggap, sekiranya duduk di luar, ia lebih membahayakan. Hanya lima orang yang turun dari bas. Ketika saya turun, saya nampak memang ada bukit bertentangan dengan bas kami. Saya terus teringat Bukit Masam yang diceritakan nenek saudara tadi. Mungkin Bukit Masam itu sedang berseronok melihat kami.

Tidak lama selepas itu, ada bas lain hampir merempuh bas kami yang terkandas itu. Keadaan lebih ngeri ketika itu kerana kami dapat rasakan angin kelajuan bas yang hampir merempuh kami itu. Selepas situasi itu, mak cik yang tadinya tidak setuju duduk di luar, turun dari bas. Dia mahu kencing di tepi semak.

Walaupun baru lalui kejadian ngeri, masih ada orang degil yang mahu terus berada di dalam bas. Kemudian, ada satu kereta berhenti di belakang bas kami. Kereta itu juga rosak, kebetulan pula, pemilik kereta itu juga mahu ke destinasi yang sama dengan kami. Dia adalah seorang lelaki yang bermulut manis tetapi agak misteri. Biarkan dia, dia hanya watak tambahan dalam cerita ini.

Muncul pula mekanik jalanan di jalan bertentangan. Kami berharap dia dapat selesaikan masalah kami dengan segera. Malangnya, bas kami kehabisan bateri dan apa sahaja yang seorang mekanik yang berkereta buruk itu boleh buat? Kami terus terkandas. Biarkan dia juga, dia juga hanya watak tambahan dalam cerita ini.

Keadaan berlarutan sehingga jam 5.00 pagi. Trak penunda datang mahu mengangkut bas kami ke bengkel. Saya masuk semula ke dalam bas dan kami sama-sama ditunda dengan trak itu. Keadaan menjadi getir ketika kami menuruni bukit, bas kami yang besar itu terpaksa ditekan brek berkali-kali kerana biimbang bas kami merempuh trak itu. Apabila sampai ke jalan rata, kami terus ditunda. Kelajuannya amatlah menyedihkan, kalau berlumba dengan siput tempang pun, siput itu pasti menang. Walaupun keadaan di dalam bas makin panas, tetapi kami sekeluarga tetap gembira kerana dihiburkan oleh nenek saudara kami yang sememangnya suka bercerita. Masa itu dia bercerita fasal M.Daud Kilau. Entah dari mana boleh timbul kisah M.Daud Kilau, saya pun tidak tahu.

Kami dapat maklumat semua bengkel tutup. Jadi kami hanya ditunda hanya ke Bandar Ipoh. Azan Subuh berkumandang sebaik sahaja kami menapak di Bandar Ipoh. Ia ibarat meraikan kejayaan kami buat masa itu. Ya, keadaan di situ lebih selamat berbanding tempat sebelumnya kerana kami ditempatkan di jalan yang lebih besar dan ada banyak lampu jalan. Kami sekeluarga bergilir-gilir sembahyang di surau kecil di Stesen Petronas berdekatan.

Matahari mula naik. Kami semua berkelah di bahu jalan. Hanya seorang sahaja yang masih duduk dalam bas, iaitu mak cik saya yang berasal dari luar negara. Dia tidur mati, pelik betul perangai dia itu. Kami sekeluarga berkelah di tepi jalan Bandar Ipoh.

Keadaan menjadi panik kerana bersama kami masih ada pengantin perempuan. Majlis bersanding di Kulim sepatutnya jam 12 tengah hari tetapi kami masih berada di Bandar Ipoh ketika jam 10 pagi. Tatkala kami runsing dengan keadaan pengantin, lelaki yang keretanya rosak tadi datang ke tempat kami 'berkelah', kali ini keretanya sudah elok kerana dibaiki mekanik kereta buruk tadi. Dia mempelawa mahu menumpangkan adik dan emak saya ke majlis perkahwinan itu. Emak saya menolaknya dengan baik kerana lelaki itu memang mencurigakan. Mana tidaknya? Dia pakai topi koboi dan berkaca mata hitam walaupun memandu kereta jenis Proton Pesona.

Kami terkandas di Ipoh sehingga jam 11 pagi. Bayangkan, berapa lama kami terkandas. Peristiwa itu mengeratkan lagi hubungan kami antara ahli keluarga. Pengantin selamat bersanding pada jam 3.30 petang.


Nenek yang bertudung hitam itulah yang menjadi penghibur kami sepanjang peristiwa itu.

Berkelah di tepi jalan. Hahaha!


Thursday, June 18, 2009

Hantu Silap Mata the Movie 1.1

Photobucket
Hantu Silap Mata The Movie adalah karya aku tahun lepas. Walaupun ini hanyalah filem pendek, tetapi angan-angan aku panjang. Aku ada banyak idea bagi kembangkan watak ini. Perhatian! Bukan kembangkan pipi aku ya!

Video ini pernah di-delete youtube.com kerana aku menggunakan lagu terlarang pada minit ke-7. Mengapalah Mat Salleh Youtube itu sanggup tonton video Melayu ini sehingga minit ke-7 bagi trace lagu apakah yang aku gunakan. Apa? Mereka sudah tiada kehidupan lainkah?

Kini, lagu itu sudah diubah dengan harapan takkan di-delete lagi. Mungkin video kali ini akan buat mereka frust sebab mereka tiada point mahu delete video aku lagi. Hahaha!


Terima kasih!


Tuesday, June 16, 2009

Rumah ke-2 saya


1- Pelukis lukisan ini adalah Naser Wahab. Terkejut?
2- Penaik semangat rumah sukan kami. Maskot badak itu sangat sensitif.
3- Tempat budak-budak conteng.
4- Nama katak itu adalah, selambakodok, sempena gelaran Afdlin Shauki.
5- Avatar Anng sedang jaga laluan angin.
6- Siapa yang aku tidak puas hati, aku tulis namanya di sini.
7- Monyet kecil yang selalu mengiyakan kata aku.
8- Album lagu dari Alif. ( hehehe.... )
9- Koleksi kereta. Rasa diri seperti raksasa Jepun setiap kali pandang ke situ.
10- Jemputan kahwin dari adik kawan. Ada banyak lagi jemputan pada tarikh yang sama. Satu pun tak dapat datang sebab adik aku pun kahwin masa itu.
11- Gambar aku sebelum duduk Malaysia.
12- Manuskrip-manuskrip yang selalu menghiburkan aku.
13- Pintu masuk ke dunia lain.
14- VCD Jangan Tidak Beli yang takkan diulang cetak. Minggu lepas ada staff baru ambil vcd ini senyap-senyap sebab nak tengok isi kandungannya. Sekarang sudah pulangkan balik.
15- Speaker yang sudah mati pucuk.
16- Tempat alat tulis, tetapi dalamnya ada daun terup.
17- Kamera Digital yang pernah merakam gambar arwah Jean Gray ( ikan laga aku ) :(
18- PSP, setiap kali Wanzu lalu, dia akan singgah main PSP ini sebentar. Dia main sambil gelak.
19- Manuskrip yang bakal best-seller!
20- Earphone yang banyak membisikkan kata semangat pada aku.
21- Magnet perhiasan yang bercahaya apabila gelap. Pernah terkejut sebab sangkakan ia hantu.
22- Hadiah daripada amoi selepas isi borang kaji selidik di comic fiesta 2009.

Saturday, June 13, 2009

Vlog: Haiwan peliharaan



Vlog adalah singkatan kepada Video Blog. Kali ini, biarlah video dan audio yang menjadi pembicara blog ini! Vlog Rules!


Wednesday, June 10, 2009

Adakah anda kuat berlakon?


"Adakah anda kuat berlakon?"
"Tidak... tetapi saya kuat berangan. Setakat ini, saya pernah jadi manusia terbang penyelamat dunia dan membeli ikan di pasar tanpa berjalan kaki, sebab saya boleh terbang. Itulah angan-angan saya paling kuat setakat hari ini." 
"......"

Okey! Kembali pada bisnes kita. Atas itu adalah entri video saya bagi peraduan  'Adakah Anda Kuat Berlakon' anjuran Fisherman's Friends. Dengan hormatnya, saya menjemput pengunjung blog ini menonton dan mengundi video ini berkali-kali setiap hari. Lebih bagus sekiranya kamu mempromosikan video saya ini ke blog dan apa jua komuniti yang kamu sertai.

Pemenang pertandingan ini hanya berdasarkan undian penonton di internet. Sekiranya menang, Afdlin Shauki akan peluk saya macam ini. Eh, mengapa badan saya nampak slim? 

Terima kasih semua!



Thursday, June 04, 2009

Orang yang percayakan mimpi

Aku adalah orang yang percayakan mimpi (noktah!). Beberapa minggu lalu aku mimpi menerima panggilan telefon yang menyedihkan. 2 hari kemudian, perkara itu menjadi realiti, aku menerima panggilan dari emak aku yang mengatakan nenek aku sudah meninggal dunia. 

Peristiwa itu bukanlah penyebab pertama membuatkan aku menjadi seorang yang hati-hati dengan mimpi. Dari dahulu lagi aku memang berpegang pada satu kata, "Tiada satupun benda yang dicipta dalam hidup kita adalah sia-sia. Tuhan menjadikan setiap perkara dengan bersebab, hanya kita sahaja, tahu ataupun tidak." Bermakna, setiap mimpi itu datang dengan pelbagai isyarat.

Pada aku, mimpi adalah deria ke-6 aku. Setiap kali aku berjaga pagi, aku akan mencongak apakah mimpi aku. Sekiranya aku mimpi terbang, dalam minggu itu aku bakal berhadapan ramai orang. Jadi, aku perlu lebihkan senaman. Sekiranya aku mimpi mandi kolam, itu tandanya aku kencing ketika tidur. Dalam bahasa saintifiknya, 'Ngompol'. Dalam sejarah, perkara itu berlaku sekali sahaja dalam hidup aku.

Pernah suatu ketika aku kerap mimpi dipatuk ular. Kata orang tua, sekiranya kita mimpi begitu, ada orang mahu datang meminang. Gila! Memang gila! Memang betul ada orang mahu merisik aku. Kamu percayakah? Kalau kamu masih menganggap aku seorang yang mulia, kamu kena percayakan hal itu. 

Dalam banyak-banyak mimpi. Ada satu mimpi yang boleh mengubah kehidupan seseorang. Ia boleh membawa kepada isu dosa dan pahala hanya kerana mimpi itu. Orang lelaki sahaja tahu.... mimpi basah!


Thursday, May 28, 2009

Ketakutan

Semasa kecil, aku takut naik lif. Sebabnya, semasa aku darjah 3, emak aku tersepit di pintu lif Subang Parade dan lif itu bergerak dari tingkat bawah hingga ke atas dalam keadaan emak aku yang masih tersepit. Aku dimomokkan orang dewasa ketika itu, kata mereka, kalau duduk dalam lif lama-lama, kita boleh mati kerana tidak cukup udara. Lebih menakutkan lagi, apabila aku dapat tahu, sebenarnya  lif ditarik hanya menggunakan seutas tali yang kurus. Maka, setiap kali aku naik lif, aku akan bersandar pada dinding sebagai langkah keselamatan. Jantung aku automatik berdegup laju setiap kali masuk dalam 'kotak  terbang' itu.

Keadaan itu berterusan sehingga aku berumur 18 tahun. Sepanjang tempoh itu, aku lebih rela guna tangga berbanding guna lif. Melainkan sekiranya aku jalan bersama rakan-rakan, barulah aku naik lif bersama mereka. Itupun sebab takut tersesat di shopping complex, terpaksa beranikan diri bersama mereka naik lif.

Ketika umur 18 tahun, aku masuk asrama. Asrama aku di tingkat paling atas dan mustahil aku mampu menaiki tangga sehingga tingkat 13 setiap masa. Kawan aku ejek aku kerana takut naik lif. Sebagai lelaki yang tinggi egonya, aku beranikan diri naik lif. Apabila sudah hari-hari naik lif, aku pun jadi biasa dan berani dalam lif, malah aku jadi teruja setiap kali masuk ke dalam lif. Masa itu, datang pula fobia baru, fobia tidak boleh jumpa lif. Mana tidaknya? setiap kali aku naik lif, aku akan lompat-lompat dalam lif bagi lif itu bergegar, aku buat begitu sebab aku fikir seronok buat begitu.  Kini, aku pula ketawakan kawan-kawan aku kerana mereka takut lif itu bergegar sedemikian rupa.

.

Sunday, May 24, 2009

Hidup aku yang sepi

Sudah lama aku tidak membuka blog sendiri. Memang aku sibuk, tetapi itu bukan alasan kerana walau sibuk bagaimanapun, aku mesti aktifkan modem internet aku walaupun pada jam 3.00 pagi dan hanya beberapa minit. Sekiranya tidak masuk blog sendiri, ke mana pula aku beriadah? Semestinya blog kamu semua. Seronok membaca blog orang lain yang penuh dengan warna-warni.

Aku iri hati dengan kehidupan kamu semua. Ada sahaja aktiviti menarik bagi diceritakan pada dunia. Aku? Tidak ada cerita yang menarik. Sepanjang minggu lalu hanya diisi dengan cerita-cerita suram dan tidak enak dikongsi di sini. Yang menarik hanya satu... orang kampung kata badan aku sudah susut dan tegap sedikit. Tetapi, takkanlah aku mahu buat entri semata-mata kerana pujian yang entah benar ataupun tidak itu? Aku rasa sama sahaja macam dahulu.... jadi aku anggap orang kampung aku hanya mahu beri motivasi pada aku. Oh ya, budak opis aku juga termasuk dalam kelompok itu.

Ah! Tidak pasal-pasal aku sudah tulis pasal berat badan satu perenggan. Langsung tidak ada kaitan dengan tajuk entri ini. Lukisan di bawah ini pun tiada kaitan dengan tajuk entri ini.

Ini adalah lukisan Megaton. Megaton adalah adik kepada Megatron. Kepada siapa yang tidak tahu, Megatron adalah robot jahat dari filem Transformers. Aku memang manusia yang membosankan sejak akhir-akhir ini. Habiskan hujung minggu dengan hanya melukis dan terperap di rumah. Oh.... ( baru ada kaitan dengan tajuk, tetapi sudah terlambat. Bye! )

Ops! Sebentar. Aku sempat menonton 3 animasi sepanjang hujung minggu ini. Animasi itu adalah:
- Wolverine and The X-men
- Wonder Woman
-Watchmen - Tales Of The Black Freighter

Wolverine and The X-men
Sebuah cerita yang sangat hebat. Boleh dianggap seperti animasi triller yang sesuai difilemkan ke layar perak. Falsafahnya jelas... apabila kita bersatu, semua masalah mudah diselesaikan ( eh, macam wonderpet pula )

Wonder Woman
DC comics memang buat animasi ini untuk orang dewasa. Jadi, aku yang masih perasan budak-budak ini kurang suka dengan cerita ini. Animasi yang indah pada permulaan cerita, tetapi bosan pada pertengahan cerita. Cerita ini boleh memesongkan akidah sekiranya kamu terlalu taksub.

Watchmen - Tales Of The Black Freighter
Wah! Sebuah cerita yang sangat memukau. Muzik, naratif, animasi, skrip... semuanya sangat drama. Aku seakan terpukau menonton movie ini. Sebuah cerita yang ganas dan sedih. Eh, cerita ini berapa minit ya? Aku tidak sedar... tiba-tiba sahaja sudah habis.

Syurga Cinta
Emak aku ajak tonton cerita ini, tetapi ubah plan pada akhir waktu. Fuh.... mujur.

Tengok! Aku sudah lari topik. Demit!

.

Tuesday, May 12, 2009

Sejarah manis dalam lukisan ini

vampire vs Drakula - Lukisan ini pernah dinobatkan sebagai lukisan terbaik mengalahkan Ben Templesmith pada tahun 2004. Ketika itu aku masih berusia 18 tahun dan kerap berbalas email dan surat pos dengan Steve Niles. 

Steve Niles adalah penulis komik seram terkenal di dunia. Penulis kesayangan DC Comics, Marvel, Dark Horse, Image Comics ini pernah nyatakan mahu bekerjasama dengan aku. Ketika itu aku masih 18 tahun dan bersekolah di Institut Kemahiran Mara Petaling Jaya.

Sayangnya... akaun email CBR yang aku selalu gunakan bagi berhubung dengannya  tiba-tiba di-terminate dan mengagalkan kenyataan itu. Ada banyak lagi faktor sampingan yang mengagalkan usaha itu.

Yang jelas, Steve Niles pernah offer mahu berkerjasama dengan aku kerana lukisan ini. Mana perginya kemampuan aku bagi mengembalikan 'respect' ini? Aku makin malas dan kurang passion dalam melukis. Aku mahukan 'passion' itu kembali.

Fakta lukisan vampire vs Drakula:
Jumlah favourite deviantart: 394
Jumlah bakal pembeli: 3 orang
Lokasi sekarang: Masih ada di rumah aku

Monday, May 04, 2009

Hadiah yang terbaik UNTUK CIKGU

Hai! Hari guru semakin hampir. Di sini saya mahu cadangkan satu hadiah yang paling praktikal, murah dan eksklusif kepada kawan-kawan. Bukan hanya pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja yang boleh menggunakannya. Pelajar univeristi juga sesuai menggunakannya. Bagi lebih jelas lagi, tontonlah video di bawah ini:



Bagaimana? Mudah bukan? Kawan-kawan boleh mendapatkannya di kedai-kedai buku ataupun beli secara online di 
http://pts.com.my/index.php/buku/3140/

Bersama entri ini, saya mahu umumkan senarai pemenang utama mengarang dialog lucu. Mereka akan menerima:
2 buah buku 'Untuk Cikgu Terbaik
di atas muka bumi Tuhan!'
+ Beberapa hadiah misteri

5 Pemenang utama itu adalah:

Nazirah binti Ahmad Fathullah

Alya binti Rohaizan.

NurSyahirah bt Che Rahimi

Halimatus Saadiah bt Ab Razak

Nor Hazira binti Hanapi

Tahniah! Pemenang akan menerima hadiah tidak berapa lama lagi. Kepada yang lain, jangan bimbang. Buku 'Untuk Cikgu Terbaik di Atas Muka Bumi Tuhan' itu juga boleh dibeli di kedai buku berhampiran mulai minggu hadapan.

p/s: Buku ini sudah habis ketika jualan di Pesta Buku Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sunday, May 03, 2009

Geng Songkok

Songkok adalah penutup kepala sebagai pelengkap pakaian Baju Melayu. Semasa aku sekolah... kami tubuhkan kumpulan, "Geng Songkok" yang terdiri daripada 4 budak lelaki. Kumpulan ini digelar begitu sebab kami datang sekolah kebangsaan pakai songkok. Ahli Geng Songkok terdiri daripada:

Azhar = Cita-cita mahu jadi pegawai bank
Faiz = Cita-cita mahu jadi pakar komputer
Alif = Cita-cita mahu jadi pelukis kartun
Faizal = Entah....

Kesemua budak lelaki itu berjaya mencapai cita-cita mereka kecuali Faizal yang sudah hilang secara misteri. Dengar kata dia sudah berkahwin dengan wanita negro. Hebat!

Aktiviti Geng Songkok kami adalah tipikal seperti aktiviti pelajar sekolah lain ketika itu. Bezanya... kami buat yang baik-baik sahaja. Maklumlah... Geng Songkok. Antara aktiviti kami selepas waktu sekolah:
- Main gusti di rumah aku. Pukul betul-betul tau!
- Main game pc di rumah Faiz. Game gusti lah, apa lagi.
- Skodeng cikgu paling cantik di sekolah sehingga ke rumah.
- Main internet di cc. Satu komputer kongsi 4 orang. Website kegemaran, website gusti.

Baru aku perasan... aku dibesarkan dengan suasana ganas. Patutlah aku ini rosak....

Friday, May 01, 2009

LAT the muzikal ibarat syurga


Lukisan, Lat.

Animasi muzikal dato' Lat. Sekiranya orang kata di situlah syurga, aku percaya. Mahu tidaknya? Mendengar okestra secara langsung dan pada masa sama dihidangkan pula dengan tayangan animasi Dato' Lat. Stroke yang digunakan, 99% sama seperti stroke asal kartun Dato' Lat. Ciri kartun hitam putih yang menggambarkan idea Malaysia itu cukup kelakar, comel dan memukau. Pertama kali lihat animasi dan persembahan muzik sehebat ini.

Aku kagum... sebaik sahaja selesai persembahan itu, aku memberi tepukan gemuruh selama 3 minit tanpa henti. Bravo!

Ada cerita di sebaliknya.... 
Sebelum aku ke sana... aku diingatkan berkali-kali oleh kawan aku supaya pakai kasut kulit hitam bagi tidak dihalang masuk ke dewan Philharmonik KLCC itu. Maka, kelam kabutlah aku mencari kasut kulit hitam beberapa jam sebelum persembahan. Dalam keadaan itu... aku terpaksa berbelanja lebih dari bajet asal. Biarlah aku katakan... harga kasut itu lebih berganda-ganda harganya berbanding harga tiket ke Dewan Philharmonic KLCC. Adoi!

Sebaik sahaja sampai sana, aku rasa penat.... adakah patut, sebenarnya orang pakai kasut sukan dan kasut kain pun boleh masuk situ. Siot betul!